Blog yang Berisi Kumpulan Puisi Pantun dan Humor Terbaru

kumpulan pantun jenaka part 1


Biduk buluh bermuat tulang 
Anak Siam pulang berbaris 
Duduk mengeluh panglima helang 
Melihat ayam bercengkang keris


Buah jering dari Jawa 
Naik sigai ke atas atap
Ikan kering lagi ketawa 
Dengar tupai baca kitab

Pohon manggis di tepi rawa
Tempat datuk tidur beradu
Sedang menangis nenek tertawa
Melihat datuk bermain gundu

Anak dara Datuk Tinggi
Buat gulai ikan tilan 
Datuk tua tak ada gigi 
Bila makan kunyah telan

Jikalau lengang dalam negeri
Marilah kita pergi ke kota
Hairan tercengang kucing berdiri
Melihat tikus naik kereta

Ketika perang di negeri Jerman 
Ramai askarnya mati mengamuk
Rangup gunung dikunyah kuman
Lautan kering dihirup nyamuk

Jual betik dengan kandil 
Kandil buatan orang Inggeris 
Melihat buaya menyandang bedil 
Lembu dan kerbau tegak berbaris

Berderak-derak sangkutan dacing 
Bagaikan putus diimpit lumpang 
Bergerak-gerak kumis kucing
Melihat tikus bawa senapang

Pokok pinang patanya condong
Dipukul ribut berhari-hari
Kucing berenang tikus berdayung 
Ikan di laut berdiam diri

Tanam pinang di atas kubur
Tanam bayam jauh ke tepi
Walaupun musang sedang tidur 
Mengira ayam di dalam mimpi

Anak bakau di rumpun salak 
Patah taruknya ditimpa genta 
Riuh kerbau tergelak-gelak 
Melihat beruk berkaca mata

Orang menganyam sambil duduk
Kalau sudah bawa ke balai
Melihat ayam memakai tanduk
Datang musang meminta damai

Hilir lorong mudik lorong
Bertongkat batang temberau 
Bukan saya berkata bohong
Katak memikul paha kerbau

kumpulan pantun jenaka part 1 Rating: 4.5 Diposkan Oleh: Unknown